Thursday 1 December 2011

Kaedah Perbincangan




Terdapat banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat digunakan oleh guru untuk menarik minat pelajar yang salah satunya ialah melalui kaedah pengajaran secara perbincangan. Kaedah perbincangan ini boleh dilakukan dalam kumpulan besar atau kumpulan kecil, terbuka dan terbimbing. Melalui kaedah ini, guru dan pelajar akan sama-sama mendapat manfaat, dimana guru dan pelajar akan dapat berkongsi-kongsi idea dan ini dapat memberi ilmu baru sama ada kepada pelajar atau guru. Guru juga akan dapat memahami dan mengenali tahap kecerdasan seseorang pelajar, dan ini memudahkan guru mengaplikasi kaedah-kaedah pengajaran kepada pelajar yang mempunyai pelbagai kecerdasan. Namun harus diingatkan bahawa sesuatu aktiviti pengajaran mesti mempunyai perancangan yang baik agar mencapai sasaran matlamat yang ditetapkan. Dalam merancang aktiviti mengajar yang berkesan dan bermakna kepada para pelajar, guru haruslah memikirkan terlebih dahulu tentang kaedah dan teknik yang akan digunakan.

Pemilihan strategi secara bijaksana mampu menjamin kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu subjek atau modul. Perancangan untuk kaedah pengajaran secara perbincangan haruslah mengambil kira faktor-faktor yang ada supaya aktiviti pengajaran berjalan dengan lancar dan berkesan. Jika dilihat dan diteliti tentang kaedah pengajaran secara perbincangan, ia menggambarkan bahawa teknik tersebut lebih banyak mendatangkan kebaikan kepada pelajar dan guru berbanding dengan kelemahan yang ada apabila menggunakan teknik ini. Dalam kaedah ini, ia lebih menekankan kepada penglibatan guru dan pelajar. Jika kedua-dua belah pihak memberi kerjasama yang baik ketika pengajaran berlaku, maka suasana pengajaran yang akan diwujudkan jauh lebih baik berbanding menggunakan cara pengajaran seperti biasa. Dalam konteks pengajaran secara perbincangan, ia lebih menekankan kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Keadaan ini mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan. Hasilnya, guru dan pelajar dapat mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran seperti yang diperlukan dan dapat melahirkan pelajar yang lebih bersikap berdikari dalam memperolehi sumber pengetahuan semasa proses pengajaran dijalankan.

No comments:

Post a Comment