Tuesday, 6 December 2011

Kelebihan Peta Minda

1)Dalam Pembelajaran
Menghapuskan rasa sukar untuk belajar. Menambah keseronokan dalam proses pembelajaran, mengulangkaji dan mengambil peperiksaan. Memberi keyakinan kepada pelajar terhadap keupayaan mereka untuk mempelajari apa sahaja matapelajaran.


2)Dalam Mengingat
Memudahkan pelajar mengingat fakta setelah mindanya dipetakan. Menambah keupayaan dan kapasiti ingatan.


3)Dalam Pandangan Keseluruhan
Dapat melihat keseluruhan bab dengan jelas. Dapat memahami segala fakta yang berkaitan. Berupaya mengulangkaji pelajaran dengan pantas.


4)Dalam Berfikir
Melatih minda mencari jalan penyelesaian untuk melaksanakan sebarang kerja secara bersistematik.


5)Dalam Merancang
Memudahkan merancang sesuatu tugas dari mula hingga ke akhir hanya dalam sehelai kertas.


6)Dalam Berkomunikasi
Dapat menyampaikan segala bentuk maklumat dengan jelas dan tepat.

KAEDAH BELAJAR SAINS

Kelemahan yang nyata di kalangan pelajar ialah kurangnya "Kemahiran Belajar" dan ini sangat mempengaruhi keputusan yang mereka perolehi dalam semua peperiksaan yang mereka lalui. Kelemahan ini ditambah lagi dengan sikap tidak mahu memperbaiki kelemahan diri berdasarkan kesilapan yang dilakukan. Biasanya selepas sahaja peperiksaan selesai kertas soalan akan dibuang dan dicampak merata tempat. Kalau pun ada yang masih menyimpan, tidak tahu di mana mereka menyimpannya. Disamping itu, sikap MALAS merupakan punca utama kelemahan pelajar.

Kaedah yang paling sesuai dan paling berkesan dalam belajar sains adalah perlu untuk mendapatkan kefahamaan yang benar-benar mantap dan mampu menghadapi sebarang bentuk soalan peperiksaan. Secara amnya, terdapat tiga kaedah umum untuk mempelajari sains.

Pemahaman

Sains untuk difahami BUKAN HAFALAN. Inilah kelemahan yang nyata di kalangan pelajar. Ramai pelajar menganggap sains itu susah kerana banyak sangat dihafal. Kena hafal istilah dan ejaannya, fakta, gambarajah, eksperimen dan banyak lagi. Kalau belajar hanya dengan menghafal apa jenis mata pelajaran pun akan susah. Perkara asas ialah KEFAHAMAN. Setelah anda faham maka mudahlah anda membuat hafalan (bukan untuk fakta atau istilah, tetapi untuk rajah, eksperimen ataupun ejaan). Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat oleh pelajar berkaitan dengan kefahaman;

1. Kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep biasanya samar-samar sahaja. Oleh itu, jawapan yang dikemukakan dalam peperiksaan biasanya terlalu umum dan kebanyakannya mengarut. Anda sepatutnya memahami sesuatu konsep dan tajuk dengan sepenuhnya sebelum anda mempelajari konsep dan tajuk yang baru.

2. Ramai juga pelajar tidak mengetahui bahawa konsep sains biasanya berkaitan antara satu dengan lain, di mana sesuatu konsep digunakan dalam banyak bab. Sebagai contoh, konsep atom, unsur, molekul, cas dan ion yang dipelajari dalam bab 4 T4 (Jirim dan Bahan) digunakan dalam bab 5 T4 (Tindak balas kimia) dan bab 4 T5(Sebatian karbon). Kurang kefahaman terhadap konsep ini akan menyukarkan anda mempelajari ketiga-tiga bab tersebut. Seterusnya, sukar bagi anda untuk menjawab dengan baik soalan yang melibatkan konsep tersebut sama ada dalam bab 4, bab 5 T4 mahupun bab 4 T5.

Latihan

Latihan merupakan perkara yang jarang dilakukan oleh pelajar. Kalau ada pun, latihan hanyalah tertumpu untuk kertas 1 (soalan objektif). Latihan dalam kertas 2 (struktur dan esei) sangat jarang dilakukan oleh pelajar. Kebanyakan pelajar ANGKUH dan beranggapan dengan HANYA MEMBACA mereka mampu menjawab apa jua bentuk soalan. Ingatlah bahawa sikap angkuh itu biasanya akan membawa padah yang buruk. Latihan perlu kerana dengannya anda boleh;

1. menguji sejauh mana kefahaman anda terhadap sesuatu tajuk;
2. mengesan kelemahan anda, sama ada dalam tajuk tertentu, konsep, istilah, rajah atau pun hafalan; dan
3. membiasakan anda dengan bentuk soalan dan kaedah menjawab.

Nota Ringkas atau Peta Minda (peta konsep)

Nota ringkas perlu tetapi ramai pelajar juga kurang membuatnya, malah ada yang menganggap ianya tidak perlu lagi memandangkan di pasaran kini terdapat banyak buku-buku ringkas pelbagai jenama (walau pun sebenarnya tidak ringkas). Fenomena buku ringkas ini membuatkan pelajar menjadi MALAS untuk menulis. Akibatnya, dalam peperiksaan pelajar biasanya memberikan jawapan yang umum (bukan mengikut fakta sains), salah ejaan, mengarut dan fakta yang salah. Nota ringkas perlu kerana;


1. dengan menulis anda akan mudah faham dan mengingat kembali apa yang anda pelajari terutamanya yang melibatkan istilah, langkah-langkah dan rajah;

2. untuk mengulangkaji cepat ketika menghadapi peperiksaan;

3. melalui peta minda anda mudah memahami perkaitan sesuatu fakta dan konsep keseluruhan sesuatu bab; dan

4. dengan kaedah "mneumonik" anda mudah mengingat sesuatu perkara.

Monday, 5 December 2011

Teknik Menjawab

Teknik Menjawab Soalan Sains UPSR
1. Baca soalan dengan teliti sebanyak 2 kali
2. Analisa Jadual / Gambarajah / Graf
2.1 Kaji fakta di dalam jadual
2.2 Rangsangan pada gambarajah
2.3 Tafsir graf (banding beza)
3. Elakkan jawapan dengan ayat yang panjang atau
kenyataan umum.
4. Gunakan maklumat / rangsangan yang diberikan dalam
soalan.
5. Gunakan laras bahasa yang sesuai, tepat, dan ringkas.
6. Gunakan bahasa / istilah saintifik.
7. Jawapan mesti menepati konsep sains.
8. Anggaplah pemeriksa tidak tahu tentang sains.
9. Ingat, terdapat jawapan di dalam soalan.
10. Jangan banyak membuang masa pada soalan yang susah.
11. Sikap mesti positif, sentiasa semak soalan / jawapan.
12. Agihan masa Bahagian A (45 minit) dan Bahagian B
(30 minit)
13. Banyakkan latihan menjawab soalan mengikut masa
sebenar.